Powered By Blogger

Tuesday 12 May 2015

Denda & Penjara Tak Solat Jumaat Mulai 1 Jun 2015 Kedah


                        

Umat Islam termasuk rakyat asing yang menetap di negeri Kedah yang sengaja ponteng solat Jumaat tiga kali berturut-turut bakal berdepan hukuman penjara dan dikenakan denda berkuatkuasa 1 Jun depan.

Umat Islam yang didapati ponteng solat Jumaat selama tiga kali berturut-turut akan dikenakan hukuman penjara maksimum sehingga enam bulan dan denda RM1,000.

Notis seperti saman akan dikeluarkan kepada mereka yang didapati bersalah sebelum tangkapan dilakukan.

Ia susulan pelaksanaan Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 kerana kesalahan tidak menunaikan solat Jumaat.

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Islam Kedah, Syeikh Ahmad Faisol Omar, tarikh sebenar penguatkuasaan Seksyen ini adalah pada 1 Februari lepas.

                       

        SYEIKH Ahmad Faisol menunjukkan risalah yang diedarkan kepada orang ramai berhubung perlaksanaan penguatkuasaan terhadap umat Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat.


Bagaimanapun, Ahmad Fisol menjelaskan pihaknya akan menguatkuasakan sepenuhnya pelaksanaan seksyen berkenaan bermula 1 Jun depan.

Sebagai persediaan melaksanakan undang-undang baharu itu, pihak Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) telah turun ke setiap daerah di negeri itu bagi memberi penerangan kepada wakil-wakil masjid di kesemua 568 buah  pusat institusi itu berhubung pelaksanaannya.

“Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah telah selesai mengadakan ‘road show’ ke 12 daerah dalam  negeri Kedah, dari Langkawi hingga ke daerah Bandar Baharu, dengan tujuan menerangkan secara terperinci peruntukan undang-undang ini kepada pihak-pihak yang boleh membantu kita dalam menguatkuasakan undang undang ini,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga telah membuat penghebahan melalui pengedaran poster di beberapa kawasan umum termasuk pekarangan masjid, surau dan juga premis kerajaan, katanya.

Katanya lagi, langkah itu diambil supaya orang awam tidak memberi alasan kononnya tidak mengetahui tentang pelaksanaan undang-undang itu di kemudian hari.

“Tindakan kita dan juga Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah telah mengeluarkan pekeliling kepada semua masjid dalam negeri Kedah untuk memaklumkan perkara ini.

“Kita telah mengedarkan poster untuk ditampalkan di papan notis masjid, surau dan juga premis-premis kerajaan,” kata Ahmad Fisol.



No comments:

Post a Comment